JUMAAT, 8 SEPTEMBER 2023
KUCHING: Pembangunan modal insan dalam perakaunan dan kewangan adalah penting untuk kemampanan ekonomi organisasi.
Menteri Pendidikan, Inovasi Dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata, negara dan Sarawak kini kekurangan profesional perakaunan dan kewangan yang berkelayakan.
“Program Transformasi Ekonomi Malaysia pada Tahun 2010 iaitu tiga belas tahun lalu menyasarkan untuk melahirkan 60,000 akauntan bertauliah menjelang tahun 2020.
“Presiden Institut Akauntan Malaysia (MIA), Datuk Bazlan Osman, melaporkan baru-baru ini bahawa MIA mempunyai kira-kira 38,500 ahli berdaftar setakat Jun 2023 yang berkhidmat kepada kira-kira 33.2 juta penduduk di Malaysia.
“Oleh itu, kita masih kekurangan sekurang-kurangnya 21,000 akauntan bertauliah di negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Ketua Penolong Setiausaha Kementerian Pendidikan, Inovasi Dan Pembangunan Bakat Sarawak, Donald Henry Nohed dalam Majlis Pelancaran Dwi Diploma dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Antara Universiti Teknologi Swinburne Sarawak (SUTS) dengan Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) di Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak, pada Jumaat.
Datuk Roland Sagah menambah, MIA juga melaporkan bahawa pertumbuhan keahliannya untuk enam tahun lepas adalah secara purata 2.5 peratus setahun.
Menurutnya, daripada ramalan angka tersebut, sebanyak enam peratus setahun bilangan akauntan yang berkelayakan diperlukan mulai tahun ini dan seterusnya untuk mencapai sasaran awal dalam menghasilkan 60,000 akauntan berkelayakan menjelang tahun 2030.
Sehubungan itu beliau memaklumkan bahawa majlis pelancaran dwi diploma dan majlis menandatangani MoU tersebut menandakan satu lagi dorongan penting ke arah mempercepatkan pertumbuhan profesion perakaunan di negara ini dan Sarawak.
“Secara keseluruhannya, perakaunan dan kewangan adalah kemahiran teknikal dan pengetahuan penting yang diperlukan untuk perniagaan abad ke-21 terutamanya yang Sarawak sasarkan untuk dicapai sebagai sebahagian daripada Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030,” ujarnya.
Turut hadir, Pro-Naib Canselor & Ketua Pegawai Eksekutif Swinburne Sarawak, Ir. Profesor Lau Hieng Ho, Timbalan Pro Naib Canselor (Penyelidikan) Swinburne Sarawak, Profesor Ida Fatimawati Adi Badiozaman, Ketua Portfolio untuk ACCA Maritim Asia Tenggara, Andrew Lim dan Peneraju Hubungan Pendidikan ACCA untuk Malaysia Timur dan Brunei, Jane Chiong. -EDISI UKAS
No comments:
Post a Comment